Monday, September 28, 2009

Binalah Akhlak Islam

Kemuliaan akhlak adalah matlamat utama bagi ajaran Islam sesuai dengan sifat Islam itu sendiri iaitu syumul. Islam tidak hanya menitikberatkan kepada soal aqidah dan ibadah semata-mata di dalam ajarannya, malah akhlak menjadi perhatian utama dalam pembentukan keperibadian muslim penganutnya.Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak.
Sekiranya seorang muslim itu kuat ibadahnya, tetapi buruk akhlak dan perangainya maka tiada sempurnalah imannya kerana akhlak itu mencerminkan keseluruhan keperibadiannya.Justeru,adalah tidak dikira beriman seseorang yang tidak berakhlak.Berhubung hal inilah Rasulullah menyatakan : Bukanlah iman itu hanya dengan cita-cita, tetapi itu ialah keyakinan yang tertanam di dalam hati dan dibuktikan dibuktikan dengan amalan


PENGERTIAN AKHLAK


Dari segi bahasa: perkataan akhlak berbentuk jamak daripada perkataan al- khuluq atau al-khulq, yang bererti tabiat atau budi pekerti.
Dari segi istilahnya pula,menurut Ibn Miskawayh dan al-Ghazali, akhlak adalah “suatu keadaan yang melekat pada jiwa manusia, yang darinya lahir perbuatan-perbuatan dengan mudah, tanpa melalui proses pemikiran atau pertimbangan”.Keadaan jiwa ini terbahagi kepada dua bentuk. Pertama, sifat-sifat yang telah ada semenjak kejadian manusia. Kedua, sifat-sifat yang diperolehi dengan pembiasaan dan latihan.
Perkataan akhlak tidak disebut di dalam al-Quran kecuali di dalam bentuk mufrad(tunggal) yang disebutkan di dalam al-Quran sebanyak dua kali.1
Tetapi di dalam hadis perkataan akhlak sering diguna sama ada dalam bentuk tunggal mahupun jamak.


____________________
(1)al-Quran, al-Qalam 68:4, al-Syuara’ 26:137.

3.0 PERKAITAN JIWA,HATI DENGAN AKHLAK.

Para ulama’ mengaitkan akhlak dengan keadaan an-nafs(jiwa) dalam perbincangan sesama mereka yang ditinjau dari segi lahirnya. “Jiwa adalah daging berbentuk sanubari terletak dipinggir dada sebelah kiri,di dalamnya terdapat ruang yang dalam ruang itu ada darah hitam, dan merupakan sumber nyawa.Sedangkan dari segi batinnya, makna jiwa sinonim dengan makna ruh,akal, dan nafsu iaitu hakikat manusia yang halus bersifat rohani dan merupakan bahagian dari manusia yang dapat merasa ,mengetahui,dan mengenal”.
Jiwa manusia mempunyai empat bentuk kekuatan atau keutamaan iaitu kekuatan berfikir(hikmah), kekuatan syahwat(‘iffah), kekuatan marah(syaja’ah), dan kekuatan keseimbangan(‘adalah)
Hikmah adalah keadaan jiwa yang dengannya dapat kita ketahui perbezaan antara hak dan batil pada segala perbuatan ikhtiari(pilihan). ‘Iffah pula ialah terdidiknya kekuatan syahwat dengan pendidikan akal dan syarak. Syaja’ah ialah keadaan marah yang tunduk kepada akal mengenai maju atau mundurnya.Manakala ‘Adalah ialah keadaan jiwa yang dapat mengarahkan nafsu marah dan nafsu syahwat untuk mengikuti panduan hikmah.

Imam Al-Ghazali menyatakan bahawa akhlak itu berpusat di hati atau jiwa.Dari hati itulah terpancarnya akhlak yang terpuji atau yang keji.Justeru itu menurut beliau,akhlak lebih menekankan hati dan keikhlasan.Keikhlasan itu melambangkan kebebasan memilih dan kerelaan hati. Malah akhlak yang mulia dan keji itu tidak semata-mata patuh kepada pertimbangan akal.Tetapi hati nuranilah yang menentukannya berasaskan kepada wahyu daripada Allah.
Beliau juga mengatakan lagi bahawa akhlak itu berpusat di hati dengan mendatangkan hadis yang bermaksud: “ ketahuilah bahawa di dalam badan itu ada seketul daging ,apabila ia baik maka baiklah keseluruhannya,dan apabila ia buruk maka buruklah keseluruhannya,ketahuilah itulah hati”.
Menurut Al-Ghazali lagi ,hati adalah sumber roh, jiwa, atau nyawa yang menyempurnakan hakikat kemanusiaan. Hati juga berfungsi sebagai daya yang boleh menangkap segala pengertian ilmu pengetahuan dan bersifat ketuhanan.Bersifat ketuhanan dalam erti kata bahawa hati menjadi sasaran segala perintah dan larangan Allah.

TEORI AL-GHAZALI DALAM PEMBENTUKAN AKHLAK


Terdapat empat peringkat yang dicadangkan oleh Imam Al-Ghazali dalam mengasuh hati agar terbentuknya akhlak yang terpuji.
A) Ilmu
Ilmu yang dimaksudkan disini ialah ilmu-ilmu yang dapat mendidik hati agar dapat membezakan antara yang benar dan yang salah . Sumber ilmu tersebut ialah al-Quran dan Hadis yang menjadi sumber wahyu utama di dalam Islam.Dengan adanya wahyu ini,maka ianya menjadi petunjuk kepada sekalian manusia dalam segala bentuk kehidupannya sama ada syariatnya,ibadah dan segala hukum- hakam.
B) Latihan
Pengasuhan terhadap hati perlu diterapkan melalui latihan yang berupa mendidik jiwa agar lahirnya akhlak yang terpuji. Jika seseorang itu ingin menjadi seorang yang berakhlak mulia, maka hendaklah dia sentiasa berlatih melakukannya hingga menjadi adat kebiasaan yang tidak dapat dikikis oleh faktor persekitaran, masa dan suasana.
C) Penundukan nafsu dan syahwat
Kedua-dua unsur ini perlu dikawal supaya hati dapat terselamat daripada tekanan dan dorongan kepada akhlak yang keji.Hal ini kerana nafsu dan syahwat menjadi dorongan yang kuat untuk melakukan sesuatu yang keji. Maka kedua-dua unsur ini perlu menjadi perhatian utama dalam mendidik jiwa dan hati agar tidak melakukan sesuatu yang keji.



D) Adil
Adil pada hati yang dimaksudkan oleh Imam Al-Ghazali ialah daya yang menggerakkan perlaksanaan tingkah laku atau akhlak yang terpuji berdasarkan kepada ketentuan aqidah, syarak dan akhlak yang disarankan oleh Allah.Dengan pertimbangan hati dan akal ,jika perintah Allah itu tidak dilaksanakan dalam bentuk tingkah laku ,maka seseorang itu tidak berlaku adil pada dirinya sendiri.

GOLONGAN MANUSIA DAN PERLAKUAN AKHLAKNYA

Selanjutnya Imam Al-Ghazali mengemukakan empat golongan manusia beserta dengan akhlaknya. Pertama, manusia yang jahil.Mereka ialah manusia yang tidak dapat membezakan antara akhlak yang baik dan keji.Hatinya kosong daripada nilai-nilai dan kepercayaan yang boleh memimpinnya untuk mencari kebenaran dan menghapuskan kebatilan.Lantas nafsu dan syahwatnyalah yang memimpin tingkah lakunya.Menurut Imam Al-Ghazali, golongan ini mudah untuk diubati kerosakan akhlaknya.Ianya memerlukan kepada seorang guru yang melatihnya supaya bermujahadah untuk menundukkan nafsu dan syahwatnya dengan memberikan keutamaan pada akhlak yang terpuji.
Kedua, Manusia yang sesat.Meraka ialah manusia yang tahu membezakan antara yang baik dan yang buruk sesuatu akhlak itu,tetapi tidak pernah mengamalkannya. Malah sentiasa mengikut nafsu dan syahwatnya dalam keadaan sedar akan kelalaiannya. Pembentukan akhlak terhadap golongan ini agak sukar.Hal ini kerana keimanan perlu difahamkan terlebih dahulu sebelum melatih dirinya menjauhkan diri daripada akhlak yang keji.
Ketiga, manusia yang fasiq. Mereka ialah golongan yang mempercayai bahawa akhlak yang keji merupakan satu kewajipan yang perlu dilakukan oleh manusia. Akhirnya, akhlak yang keji itu dianggap benar. Golongan ini hampir mustahil untuk diubati dan jelas kesesatannya berbanding golongan yang jahil dan sesat.
Keempat, manusia yang jahil, sesat dan fasiq.Mereka ialah golongan yang merasa bangga melakukan akhlak yang keji. Mereka yakin akan dapat meningkatkan darjat dan kedudukan mereka dalam masyarakat.Golongan ini mustahil sama sekali untuk dibaiki.

MEMPERBAIKI AKHLAK MENURUT PANDANGAN AL-GHAZALI

Imam Al-Ghazali mengemukakan tiga tindakan susulan untuk memperbaiki akhlak seseorang. Antaranya ialah, niat. Seseorang itu mestilah berniat bersungguh-sungguh di dalam hati untuk meninggalkan segala akhlak yang buruk dan keji. Niat berperanan dalam mewujudkan keupayaan kepada seseorang untuk melaksanakan akhlak yang terpuji secara beransur-ansur.
Kedua, muhasabah. Seseorang itu perlu mengira dan menghitung diri (muhasabah) secara adil terhadap semua akhlak yang baik dan keji sebelum melakukan sesuatu secara berterusan dari semasa ke semasa.
Ketiga, muraqabah. Akhirnya seseorang itu mestilah berwaspada dan berhati-hati agar segala kejahatan dapat disekat dan hanya akhlak yang terpuji dan baik sahaja yang diamalkan .

Akhlak mencerminkan peribadi seseorang muslim kerana akhlak adalah sebahagian daripada iman.Seseorang yang tidak berakhlak itu,maka dia adalah dari kalangan orang yang kurang imannya.Justeru,kertas kerja ini memberi sedikit sebanyak pandangan dan manhaj ulama’ berkenaan mendidik jiwa agar berakhlak mulia dengan akhlak Islam.


RUJUKAN:

Imran Effendy Hasibuan.(2003).Pemikiran akhlak Syekh Abdurrahaman Shiddiq al-Banjari.Riau:LPNU Press.

Mustaffa Daud.(1995).Budi bahasa dalam tamadun Islam.Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mustaffa Abdul Rahman.(2005).Hadith 40 terjemahan dan syarahnya.Selangor:Dewan Pustaka Fajar.